twitter
    Kenalilah Negara Yaman Dengan Mendalam

Bumi Iman & Hikmah

Yaman adalah salah sebuah negara yang jarang menjadi sebutan di bibir masyarakat. Ianya salah satu negara yang tersembunyi berbagai hikmah dan rahsia. Negara yang jauh dari pandangan masyarakat negara-negara lain kerana ketandusan dan kemundurannya, namun ia mempunyai kelebihan yang jarang dirasai oleh masyarakat luar. Daripada kebudayaannya, pembangunannya dan keunikan kota-kota silam yang tersimpan pelbagai sejarah silam dari zaman nabi-nabi terdahulu, zaman sahabat, sehinggalah zaman kebangkitan Islam.


Sirah :
Pelbagai sejarah dari Al-Quran dan Hadis menceritakan tentang Yaman. Daripada Zaman Saba` iaitu kerajaan Arab yang pertama atau dikenali sebagai kerajaan yang kuat semasa hayat puteri Balqis di zaman Nabi Allah Sulaiman A.S, dan begitu juga kisah sejarah dari perutusan terakhir Nabi Muhammad s.a.w sehinggalah zaman sahabat dan para tabi`en.

Antara hadis Rasulullah yang menceritakan tentang Yaman, Rasulullah s.a.w pernah bersabda :

“ Telah datang ahli Yaman, mereka adalah orang yang selembut-lembut hati dan selembut-lembut sifat, Iman itu di Yaman, dan Fiqh itu di Yaman, dan Hikmah juga di Yaman” (Hadis Sohih- riwayat Muslim)

Timbul berbagai persoalan disisni kenapa Rasulullah melafazkan sabdanya tersebut untuk bumi Yaman ?
dan kenapa tidak di tujukan Iman dan hikmah itu kepada negara-negara lain ? Sedangkan beliau sendiri tidak pernah sampai ke Yaman.

Di sini ada tiga pendapat ulama yang disebutkan oleh Imam Nawawi :

Pendapat pertama : Mengatakan bahawa Rasulullah maksudkan dengan hadis tersebut adalah Mekkah, kerana Mekkah penduduknya adalah dari ahli Tihamah, dan Tihamah itu juga dari ahli yaman (dan terdapat perkampungan Tihaman yang masih wujud kafilah dan keturunannya di Yaman) dan baginda rasulullah sendiri adalah dari keturunan Tihamah

Pendapat kedua : Mengatakan bahawa yang dimaksudkan dengan hadis tersebut adalah Mekkah dan Madinah. Dan ketika Rasulullah meriwayatkan hadis tersebut ia berada di Tabuk (iaitu tempat yang pernah menjadi medan peperangan pada zaman Rasulullah dahulu) dan ketika itu di antara Mekkah dan Madinah adalah Yaman, Maka Rasulullah menudingkan jarinya ke penjuru Yaman sepertimana yang dinamakan “rukun Yamani” yang dimaksudkan di antara Mekkah dan Madinah.

Dan pendapat ketiga pula : Mengatakan bahawa yang dimaksudkan adalah kaum Al-Ansar di Madinah, kerana kaum Ansar juga berasal dari Yaman.

Bermula dari kisah kaum Aus dan kaum Khazraj yang datang dari Madinah ke Mekkah pada tahun sebelas kenabian untuk memeluk Islam. Kemudian disusuli dari ahli madinah kaum Aus dan Khazraj yang lain pada tahun dua belas kenabian dengan terbina satu
bai`ah(perjanjian) yang dikenali sebagai perjanjian `Aqabah pertama dari dua belas orang pemuda madinah.

Dalam kajian sejarah keturunan bangsa dan kafilah arab, Kaum Aus dan kaum Khazraj juga adalah dari keterunan Yaman iaitu pecahan dari bani Azd.

Begitu juga kisah dari Raja Bazan, iaitu raja yang hidup di Yaman pada zaman Rasulullah. Beliau memeluk Islam setelah menerima utusan dari rasulullah dengan tanpa banyak soal dan alasan dan beliau terus menyeru kepada rakyatnnya di Yaman supaya beriman kepada Allah dan rasulullah, maka rakyatnya juga memeluk Islam sepertimana beliu memeluk Islam iaitu tanpa sebarang soalan dan alasan.

Kisah-kisah ahli Yaman yang memeluk Islam pada zaman Rasulullah s.a.w telah terbukti bahawa hati ahli Yaman adalah seperti yang disebutkan dalam hadis di atas.

0 comments:

Post a Comment